TEHRAN- Beberapa serangan dron dilaporkan telah dilancarkan kumpulan pejuang Hezbollah ke utara Israel pada pagi Isnin.
Menurut laporan media Israel, serangan itu disasarkan ke Galilee Barat dan Bandar Nahariya menyebabkan siren dibunyikan.
Media Israel yang memetik rejim tentera mendakwa, beberapa dron berjaya ditembak jatuh manakala sebahagian lagi terkena kawasan Ya’ara.
Sementara itu, laporan yang masih belum disahkan mengatakan, terdapat beberapa individu cedera akibat serangan berkenaan.
Hezbollah dan Israel mula berbalas serangan sejak 8 Oktober tahun lepas, sehari selepas rejim itu melancarkan perang ke atas Gaza.
Kumpulan pejuang dari Lubnan itu berkata, mereka mahu memberi sokongan terhadap rakyat Palestin yang menderita akibat perang berkenaan.
Bagaimanapun, serangan lebih hebat semakin kerap berlaku beberapa minggu kebelakangan itu, terutamanya selepas pembunuhan pemimpin kanan Hezbollah oleh Israel, Komander Fuad Shukr.
Kumpulan pejuang itu berjanji untuk menuntut bela di atas kematian Fuad yang terkorban dalam serangan udara di selatan Beirut.- IRNA