KUALA LUMPUR – Dua kanak-kanak lelaki yang disangka hilang rupa-rupanya terperangkap hampir sembilan jam di dalam lif di sebuah apartmen di Desa Petaling semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kedua-dua mangsa berusia 10 dan 11 tahun itu.
“Mereka telah terperangkap kira-kira sembilan jam di dalam lif bagaimanapun mangsa ditemui semula dalam keadaan selamat.
“Ya, terdapat dua laporan polis telah diterima mengenai kebimbangan keselamatan dua kanak-kanak,“ katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, ibu saudara salah seorang kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Ina berkata, anak saudaranya berusia 10 tahun keluar dari rumah untuk membeli pau dan berjumpa rakannya yang berada di Apartmen Pangsaria berhampiran.
“Saya diberitahu anak abang saya (mangsa) itu keluar kira-kira 2 petang namun sehingga jam 10 malam masih tidak pulang. Usaha pencarian dilakukan kami sekeluarga di kawasan sekitar, memang risau masa itu,” katanya ketka dihubungi.
Bagaimanapun mereka sekeluarga bersyukur selepas kesemua kanak-kanak itu dijumpai selamat kira-kira pukul 1 pagi tadi.
“Saya diberitahu mereka terperangkap lama dalam lif. Lif telah terbuka sendiri, mereka keluar dalam keadaan lapar dan mengantuk. Syukur semuanya baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette