Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerima cenderahati daripada Menteri Pertahanan Negara Republik Turkiye, Yasar Guler selepas hadir lawatan kerja di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Malaysia meneroka kerjasama baharu dengan Turkiye membabitkan semua aspek pertahanan termasuk kebolehoperasian ketenteraan, pendidikan, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan perkongsian risikan menerusi Kementerian Pertahanan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, satu perjanjian kerjasama akan dirangka sebelum dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua negara akhir tahun ini.

“Dalam pertemuan dengan rakan sejawat (Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler) kami membincangkan mengenai kerjasama kedua negara dalam industri pertahanan, pertukaran, latihan ketenteraan dan pendidikan.

“Semua ini sangat penting lebih-lebih kita ada pertukaran (perjanjian pertahanan) selain terdedah kepada pelbagai isu dan cabaran di kedua-dua negara serta rantau. Kita juga akan lebih memahami mengenai teknologi dan peralatan pertahanan kerana Turki antara pengeluar aset ketenteraan,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler sebagai lawatan balas kepada kunjungannya ke negara tersebut pada 11 Jun lepas.

Yasar bersama delegasi Turkiye tiba pukul 10.45 pagi dan disambut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia.

Mohamed Khaled berkata, selain kerjasama pertahanan dua hala, Turkiye turut menyatakan aspirasi untuk menjadi rakan dialog di rantau ini serta mengambil bahagian sebagai pemerhati dalam mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN.

Katanya, perbincangan dengan Yasar juga menyentuh konflik yang berterusan di Palestin termasuk kedua-dua negara berkongsi pendirian sama.

“Kami berdua berkongsi pendirian terdapat keperluan untuk gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan berterusan daripada semua pihak. Bantuan kemanusiaan tidak harus disekat atau dihalang,” ujarnya.

Semalam, Yasar bersama Ketua Organisasi Perisikan Nasional (MIT) Ibrahim Kalin mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

Pada Jun lalu, Mohamed Khaled bersama delegasi Kementerian Pertahanan mengadakan lawatan kerja rasmi selama lima hari ke Turkiye.

Ia adalah lawatan kerja rasmi pertama Mohamed Khaled ke negara berkenaan sejak dilantik Menteri Pertahanan bertujuan memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara selain menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Malaysia-Turkiye yang diadakan buat julung kalinya.

Selain itu, satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) berkenaan perolehan produk pertahanan serta perjanjian kolaborasi dan kerjasama membabitkan pemain industri Malaysia-Turkiye turut dimeterai.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan turut menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) kumpulan kedua kepada syarikat pertahanan Turkiye, Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM).

Menerusi lawatan sama, Mohamed Khaled juga mengadakan pertemuan dengan Secretariat of Defence Industries (SSB), sebuah institusi yang ditubuhkan Turkiye untuk menguruskan industri pertahanan dan pembekalan teknologi ketenteraan.

Beliau kemudiannya melawat beberapa syarikat pertahanan Turkiye seperti Turkish Aerospace Industries (TUSAS), Aselsan dan Mechanical and Chemical Industry Corporation (MKE) serta mengadakan pertemuan dengan syarikat DESAN Shipyard. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast