PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menarik balik rayuan supaya Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Najib membuat permohonan itu kerana ketika perbicaraan 1MDB, Collin membuat pendedahan beliau dan peguam kanan 1MDB Jasmine Loo Ai Swan pernah berkhidmat di sebuah firma undang-undang bersama.
Jasmine Loo merupakan salah seorang saksi pendakwaan bagi kes 1MDB.
Peguam utama yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bahawa penarikan itu dibuat susulan saksi pendakwaan itu sudah habis memberikan keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika prosiding sedang berjalan.
Namun kata Muhammad Shafee, pihaknya mungkin akan membangkitkan isu berat sebelah pada rayuan utama kes 1MDB kelak.
Hujah Muhammad Shafee, adalah lebih baik untuk membawa isu itu kelak selepas penghakiman penuh dalam kes 1MDB yang sudah berada pada hujahan akhir ketika.
“Lebih menguntungkan jika bawa kes rayuan ini kemudian selepas penghakiman pada kes utama ini dibuat. Kita akan dapat buat pertimbangan sama ada perlu ada tindakan susulan atau sebaliknya membabitkan saksi itu,” katanya.
Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar juga tidak mempunyai bantahan dalam penarikan kes rayuan itu.
Rayuan itu kemudian dibatalkan selain memutuskan pasukan Najib masih boleh mengemukakan rayuan sama pada masa lain jika adanya keperluan.
Dalam mengetepikan permohonan Najib, Hakim Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata, sejak meninggalkan firma berkenaan pada Disember 2008, beliau tidak pernah berkomunikasi dengan Jasmine sama ada secara profesional atau peribadi.
Jasmine telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang sedang berlangsung, sebagai saksi ke-50.
Najib, 70, berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.
Perbicaraan bersambung 22 April. – MalaysiaGazette