KUALA LUMPUR – Padah mencuri ubat di sebuah kedai kecantikan dan kesihatan, seorang lelaki warga Itali ditahan dalam kejadian di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, dalam kejadian jam 5.20 petang itu suspek berusia 58 tahun didapati mengambil barang tanpa membuat pembayaran.
“Seorang pekerja premis yang membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah mengesan suspek mengambil dua kotak ubat.
“Antara yang diambil adalah sekotak ubat Fluimucila berharga RM45.90 dan sekotak ubat Gaviscon (RM29.52).
“Susulan itu, satu lpaoran polis telah dibuat dan suspek berjaya ditahan ketika berada di KLIA2.,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya telah merampas barangan yang dicuri bersama sebuah beg bewarna kelabu dengan kerugian dianggarkan bernilai RM75.42.
Susulan itu, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. – MalaysiaGazette