KUALA LUMPUR – Satu lagi mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan polis di Pantai Leman, Kuala Kedah, Kedah dipercayai menjadi mangsa bunuh suspek warga Rohingya yang ditahan hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui terdampar oleh orang awam yang berada di pantai terbabit kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
“Semakan ke atas mayat kanak-kanak itu, ditemukan dalam keadaan sempurna tetapi ada kesan kecederaan kelar di leher sama seperti dialami dua beranak berusia 34 dan 10 tahun.
“Bagaimanapun, kita sedang membuat pengesahan ke atas identiti mayat kanak-kanak itu kerana fizikal dan mukanya belum dapat dipastikan.
“Kita percaya mangsa yang ketiga ini mungkin anak bongsu suspek yang turut dibunuh pada 18 Ogos lalu, kerana semakan mendapati suspek memilik tiga orang anak dan seorang isteri,” katanya.
Tambah beliau, suspek berusia 43 tahun itu dipercayai telah membuang mayat anaknya ke dalam longkang di Jalan Pegawai iaitu kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian sebelum hanyut ke laut.
Terdahulu, polis menahan seorang lelaki warga asing susulan penemuan mayat dua beranak di belakang sebuah bangunan kosong berdekatan Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim, di sini, petang semalam.
Suspek diberkas di sebuah masjid di Bukit Pinang, di sini, pada pukul 9.05 malam semalam bersama seorang anak lelaki berusia lima tahun yang dijumpai selamat, namun trauma.
Mengulas lanjut Adzli berkata, anak kedua suspek itu telah diserahkan kepada pihak hospital untuk pemeriksaan kesihatan dan akan ditempatkan di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC).
“Anak lelakinya itu kelihatan trauma, mungkin dia telah menyaksikan sesuatu yang amat tragik sepanjang bersama suspek.
“Jadi kita tempatkan dia di CIC yang mana di situ ada pakar psikologi yang boleh membantu untuk dia berikan keterangan atau berkongsi apa yang disaksikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette