Lipas yang ditemui di rak simpanan barang sebuah gerai minuman di New World Park, Jalan Burma, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Dua buah gerai makanan dan minuman di New World Park, Jalan Burma di sini, diarahkan tutup selama 14 hari selepas didapati menjadi sarang pembiakan lipas.

Keadaan menjijikkan itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut ​menemui puluhan lipas di rak barang gerai berkenaan ketika melakukan pemeriksaan mengejut semalam.

Pegawai Operasinya, Muhammad Firdaus Abdul Halim berkata, sebanyak 28 premis diperiksa diperiksa dalam operasi tersebut sebelum dua daripadanya diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Katanya, sebanyak 21 kompaun bernilai RM6,900 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada peniaga di medan selera tersebut.

Gerai minuman antara diarahkan tutup selama 14 hari.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah pengendali makanan tidak mempunyai suntikan anti tifoid dan tidak menjalani latihan pengendali makanan.

“Malah, ada peniaga yang menyimpan ramuan makanan melebihi tarikh luput selain persekitaran yang tidak bersih serta kotor,” katanya.

Difahamkan, ketika pemeriksaan tersebut ada peniaga yang bertindak melarikan diri dan meninggalkan gerai tanpa menutup api di dapur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast