KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan satu sindiket scammer yang mengugut orang ramai dengan meminta wang rasuah kononnya bagi melindungi aktiviti pengubahsuaian meter elektrik di kediaman sekitar Lembah Klang.

Lima ahli sindiket yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 30-an telah ditahan di sekitar Kuala Lumpur semalam.

Susulan penahanan itu, Majistret Nadiah Abd Razak membenarkan empat suspek lelaki direman selama enam hari sehingga 27 Ogos 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, modus operandi sindiket ialah menghubungi dan menjalankan pemeriksaan di premis pelanggan dan mengatakan bahawa mangsa telah mengubah suai meter elektrik tanpa kebenaran.

“Mangsa diugut akan dikenakan tindakan saman dengan nilai puluhan ribu ringgit jika enggan membayar rasuah bagi melindungi kesalahan ini.

“Jumlah wang rasuah dianggarkan bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap premis yang diperiksa bergantung sama ada premis kediaman atau perniagaan,” katanya.

Kata sumber, dalang sindiket berusia 30-an dan dua ahli kumpulan lain merupakan kontraktor syarikat pembekal tenaga elektrik bagi menjalankan kerja-kerja memotong bekalan elektrik.

Manakala dua orang lain merupakan individu yang terlibat mendapatkan maklumat mengenai mangsa-mangsa yang dikenal pasti sindiket.

Hasil soal siasat turut mendapati sindiket ini telah mengaut ratusan ribu ringgit yang melibatkan ribuan mangsa di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau tidak menolak lebih ramai lagi anggota sindiket akan ditangkap dan dipercayai sindiket ini telah beroperasi lebih setahun.

Azizul turut menggesa orang ramai yang menjadi mangsa sindiket itu melaporkan kes dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, R Kumaran di talian 03 – 8891 1657.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast