BUKIT MERTAJAM – Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022 bukan bertujuan menghukum majikan sebaliknya ia lebih kepada memastikan keselamatan pekerja di tempat kerja,” tegas Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Ia susulan ada majikan khuatir serta mendakwa pelaksanaan pindaan AKKP yang berkuat kuasa 1 Jun lalu itu membebankan selepas denda dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM500,000.
“Saya nak tegaskan sekali lagi fokus kita bukan untuk menghukum dan mendenda sebaliknya, kita mahu mengelakkan berlaku sesuatu kemalangan di tempat kerja.
“Dalam aspek ini, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) juga memberikan khikmat percuma kepada majikan dan syarikat-syarikat untuk membantu mereka membuat penilaian serta kelompongan dalam mematuhi keperluan AKKP.
“Jadi saya minta supaya para majikan yang mempunyai isu ataupun perkara-perkara yang berbangkit tentang pindaan terbaru ini boleh datang buat perbincangan dengan kita atau NIOSH,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program NIOSH dan Majlis Penyerahan Pensijilan ISO kepada Penang Port Sdn Bhd dan Universiti Sains Malaysia (USM) di Hotel Iconic di sini.
Mengulas mengenai program hari ini, Steven Sim berkata, tiga Pasport Keselamatan NIOSH dilancarkan secara serentak iaitu NIOSH Jabil Safety Passport (NJSP), NIOSH AT&S Safety Passport (NATSP) dan NIOSH Ibiden Safety Passport (NISP).
“Langkah proaktif yang diambil pihak swasta untuk meningkatkan tahap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan amat dihargai kerajaan kerana ia menunjukkan sikap tanggungjawab dan keprihatinan mereka kepada kebajikan para pekerja yang turut menjadi asas kekuatan masyarakat.
“Walaupun perlaksanaan Pasport Keselamatan tidak diwajibkan oleh kerajaan namun KESUMA berbangga apabila semakin ramai majikan melaksanakannya di organisasi masing-masing, termasuk mereka yang beroperasi di Pulau Pinang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Steven Sim turut berharap pencapaian USM akan menjadi pendorong kepada institusi pengajian tinggi yang lain untuk turut mendapatkan pensijilan ISO sekali gus meletakkan mereka sebaris dengan pelbagai institusi cemerlang di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette