KUANTAN – Kemunculan Puteri bongsu Sultan Terengganu, Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra’ ke Istiadat Berinai di Istana Abd Aziz, di sini mencuri tumpuan rakyat jelata yang menyaksikan siaran langsung majlis itu di skrin layar gergasi di Tasek KotaSAS malam ini.
Tengku Puteri yang mengiringi keberangkatan tiba Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pada kira-kira jam 8.13 malam dilihat mengenakan busana rona biru muda, sedondon dengan seluruh ahli keluarga pengantin perempuan, Tengku Puteri Raja Pahang, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.
Majlis Istiadat Berinai seterusnya dimulakan pada jam 8.30 malam dengan keberangkatan pengantin lelaki, FD Idzham FD Iskandar ke Balai Temenggong.
Bagaimanapun, keterujaan pengunjung yang menonton Istiadat Berinai itu terhenti seawal lima minit majlis bermula berikutan hujan lebat.
Meskipun terpaksa menonton daripada jauh, hampir semua yang hadir masih kekal menonton istiadat turun temurun tersebut bersama yang tersayang.
Menurut salah seorang pengunjung, Faradilla Nurulfuad, 40, dia mahu mengingati pengalaman menonton Istiadat Berinai mempelai diraja hari ini sebagai sesuatu yang berharga.
“Saya orang Johor. Duduk di sini (Kuantan), ikut suami. Nak sama-sama merasakan ‘moment’ majlis perkahwinan diraja ni sebab pertama kali.
“Mungkin di Johor lain, di Pahang lain caranya. Tapi hujan lah pula. Takpe, sama-sama redha. Tak lah kecewa sangat. Mungkin ada hikmah dan rahmat Allah, sebab ini akan diingati sampai bila-bila.
“Boleh cerita dengan anak-anak nanti. Tengok Istiadat Berinai Diraja dalam cuaca hujan,” katanya sambil tersenyum kepada MalaysiaGazette.
Begitu juga dengan seorang lagi pengunjung, Nurul Aryanti Zaini Shaferi, 33 yang hadir bersama anak-anak, adik dan ibunya malam ini.
“Ini pertama kali tengok (Istiadat Berinai). Tapi tak sempat nak tengok, sebab dah hujan. Tapi tak de lah kecewa, benda nak jadi kan.
“Semoga kekal bahagia, cepat-cepat dapat ‘baby’ yang comel-comel. Yelah, mak ayahnya pun comel kan, ” kata Nurul Aryanti.
Istiadat perkahwinan puteri Sultan Pahang Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dengan pasangannya FD Idzham FD Iskandar bermula semalam dengan Istiadat Akad Nikah di Istana Abdulaziz semalam.
Istiadat Bersanding pula akan diadakan pada hari Ahad iaitu 25 Ogos, turut akan disiarkan secara langsung menerusi dua layar besar di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 dan sebuah layar di Tasik KotaSAS. – MalaysiaGazette