Muhammad Nazmi Nasaruddin bakal mengetuai barisan pengadil bagi aksi final Piala FA 2024/25 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

KUALA LUMPUR – Muhammad Nazmi Nasaruddin bakal mengetuai barisan pengadil bagi aksi final Piala FA 2024/25 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Nazmi dan beberapa pengadil yang lain turut menyertai mesyuarat koordinasi perlawanan di Stadium Nasional di sini hari ini yang membincangkan perkara teknikal, operasi perlawanan, pengadilan dan protokol sesi penyampaian hadiah.

Nazmi merupakan pengadil negara berkredibiliti selepas mendapat pengiktirafan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ini terbukti apabila beliau dipilih sebagai pengadil aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2023/24 membabitkan Buriram United dan Zhejiang FC.

Ini menjadikan Nazmi pengadil Malaysia pertama mengadili saingan ACL yang menggunakan sistem bantuan video pengadil (VAR).

Beliau memiliki kelayakan mengendali VAR kerana telah mengikuti siri latihan membabitkan VAR di Arab Saudi yang menjadikan beliau pengadil Malaysia pertama yang diiktiraf FIFA sebagai pegawai VAR.

Nazmi turut memiliki pengalaman mengendalikan perlawanan antarabangsa termasuk saingan Piala Asia 2023 di Qatar awal tahun ini.

Beliau juga bertanggungjawab mengadili aksi Vietnam-Iraq dan Uzbekistan-Thailand.

Sementara itu, Nazmi bukan kali pertama diberi amanah mengadili saingan final Piala FA.

Ini kerana pada 2023, beliau turut dipilih sebagai pengadil aksi final Piala FA 2023 antara Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan KL City FC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast