KUALA LUMPUR- Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menahan 29 warga Myanmar termasuk lima ejen yang disyaki terbabit aktiviti penyeludupan migran senegara.
Serbuan dilakukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman, di empat kediaman pangsapuri yang dijadikan lokasi transit di Cheras dan Kajang, 10.35 malam Khamis.
Ketua Penolong Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan dijalankan berdasarkan maklumat dan risikan yang menfokuskan kepada migran yang memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan selain ejen-ejen yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
“Hasil siasatan awal kami mendapati kesemua 24 migran Myanmar yang terdiri daripada 22 lelaki dan dua wanita berusia antara 18 hingga 36 tahun ditempatkan dalam empat kediaman yang diserbu sejak dua minggu lalu.
“Mereka disyaki diseludup masuk ke dalam negara ini melalui jalan darat dari Pantai Timur selepas membayar antara RM2,000 hingga RM3,000 seorang kepada ejen warga Myanmar,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.
Tambah Soffian, pada masa ini pihaknya masih mengenal pasti tujuan dan destinasi sebenar migran Myanmar tersebut.
Katanya, hasil siasatan lanjut yang dijalankan oleh polis juga mendapati kesemua lima ejen yang ditahan itu terlibat dalam aktiviti menyeludup masuk migran Myanmar sejak tiga bulan lalu.
“Pihak kami juga masih menyiasat jumlah sebenar migran yang dibawa masuk oleh sindiket sejak tiga bulan lalu selain mengenal pasti lokasi mereka (migran) pada masa ini.
“Kesemua lima ejen lelaki terbabit berusia antara 27 hingga 30 tahun yang ditahan itu sedang disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007 manakala tangkapan 24 orang migran Myanmar disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Malah, kesemua tangkapan masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan IPD Cheras untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.-MalaysiaGazette