PUTRAJAYA – Siasatan ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengikut proses undang-undang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, Perdana Menteri menyerahkan siasatan ke atas Muhyiddin itu sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan juga Peguam Negara.
Beliau juga memberi jaminan tidak akan mengganggu siasatan ketika ini ke atas bekas perdana menteri kelapan itu.
“Setakat ini kita ikut jalur dan serah kepada siasatan dan juga Peguam Negara. Saya tidak campur urusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Penguat Kuasa KPDN dan Pelancaran Portal Ihsan Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Beliau diminta mengulas sama ada Muhyiddin perlu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya sebelum ini.
Kelmarin, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu memberikan keterangan kepada polis kira-kira satu jam berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum).
Proses itu dilakukan di pejabat bekas Perdana Menteri itu yang terletak di bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Muhyiddin turut menyerahkan beberapa dokumen kepada polis sepanjang tempoh sejam memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R.
Polis mengambil kenyataan daripadanya berhubung ucapan pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri. – MalaysiaGazette