KUALA LUMPUR – Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman secara rasminya dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Dang Wangi baharu pada hari ini.
Beliau telah menggantikan Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nuzulan Mohd Din yang sebelum ini ditugaskan memangku jawatan tersebut.
Nuzulan memangku jawatan berkenaan selepas Senior Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Risikan/Operasi/Rekod) D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 8 Julai lalu.
Sebelum ini, Sulizmie Affendy telah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Perisikan/ Siasatan Khas Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Bahagian Wildlife Crime Bureau/ Perisikan dan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas jawatan berkenaan yang diadakan dengan penuh beristiadat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah dihadiri dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob.
Dalam ucapannya , Azry Akmar berharap kepimpinan baharu di bawah Sulizmie akan mendatangkan impak yang baik untuk pasukan terutamanya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
“Terima kasih kepada Nuzulan yang telah memikul tanggungjawab sebagai ketua
polis daerah dan timbalan ketua polis daerah sejak 29 Julai lalu.
“Selepas ini, tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah Dang Wangi akan dipikul oleh Sulizmie Affendy.
“Pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki Sulizme Affendy di KDNKA sebelum ini pastinya memudahkan untuk memikul amanah dan dengan cemerlang di IPD Dang Wangi selepas ini.
“Saya berharap beliau akan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi serta menempa lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” tegas beliau lagi.-MalaysiaGazette