Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengutamakan usaha menaik taraf jalan susulan permukaan tidak rata dan berlubang yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, laporan menunjukkan kira-kira 60 peratus jalan persekutuan dalam negara telah melebihi hayat perkhidmatannya dan memerlukan pembaikan segera.

Jelas beliau, kerajaan juga perlu mengenakan penalti tinggi ke atas kenderaan komersial yang membawa muatan lebih kerana kajian menunjukkan ia merupakan punca utama kerosakan awal jalan raya terutamanya di kawasan luar bandar.

“Selain itu, faktor lain yang menyumbang kepada keadaan jalan yang buruk ialah kerja pembaikan yang tidak memuaskan oleh kontraktor pihak ketiga.

“Peningkatan jumlah kemalangan jalan raya dan kematian amat membimbangkan khususnya dalam kalangan penunggang motosikal, justeru kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk menanganinya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, membangunkan sistem pengangkutan awam cekap yang diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan juga penting dalam menangani kes kemalangan maut.

“Malaysia mestilah mengurangkan pemilikan kenderaan persendirian, menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang cekap, dan menguatkuasakan peraturan lalu lintas dengan tegas untuk mengurangkan kemalangan.

“Justeru, untuk mencapai Sifar Kemalangan sempena sambutannya pada 26 Ogos ini memerlukan komitmen kolektif daripada semua pengguna jalan raya, pihak berkuasa kerajaan serta pihak berkepentingan yang berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast