Nie Ching melawat kaunter dalam Program Saringan Kesihatan Parlimen Kulai di Dewan Terbuka Hutan Bandar Putra di Kulai, hari ini

KULAI – Kementerian Komunikasi mungkin mengenakan denda terhadap kontraktor pelaksana projek Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa satu di pedalaman Sabah dan Sarawak yang lewat menyiapkan projek itu daripada jadual asal ditetapkan.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, pihaknya
ketika ini sedang mengkaji kaedah denda kelewatan yang akan dikenakan bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Tempoh masa lanjutan yang telah diberikan pihak kami kepada kontraktor pelaksana Jendela fasa satu sudah terlalu lama. Mereka memohon untuk tempoh lanjutan kontrak.

“Saya rasa setakat ini, memang ada projek-projek Jendela fasa satu yang belum dilengkapkan lagi dan kami telah adakan banyak perbincangan dengan mereka.

“Untuk mereka (kontraktor pelaksana) yang masih meminta tempoh lanjutan masa untuk siapkan kerja, kami bersama-sama MCMC sedang melihat langkah untuk mengenakan denda ‘late delivery interest’ kepada mereka, memanglah lanjutan masa cukup panjang pada mereka telah kami beri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata demikian ketika ditemui pada Program Saringan Kesihatan Parlimen Kulai di Dewan Terbuka Hutan Bandar Putra di sini, hari ini.

Menurut Nie Ching, kelewatan itu dilihat tidak adil kepada pengguna tempatan yang menunggu perkhidmatan tersebut sejak sekian lama.

Pada masa sama katanya, SKMM sedang meneliti pelaksanaan Jendela fasa dua agar kelewatan sama tidak berulang antaranya meneliti teknologi terkini yang akan diguna pakai.

“Jendela fasa dua nanti akan mengguna pakai teknologi yang pakai adalah yang terkini. Mungkin masa jendela satu masa itu hubungan melalui satelit tidak wujud lagi. Tetapi sekarang kami sudah ada hubungan melalui satelit dan kami nak pastikan bahawa kita guna pakai teknologi terbaru.

“Dengan langkah ini mungkin tidak akan sebarang masalah di mana ada kontraktor tidak dapat siapkan kerja mereka dalam tempoh kontrak,” ujar beliau.

Pada akhir bulan lalu, Nie Ching meluahkan rasa kecewa dengan kontraktor pelaksana yang lambat menyiapkan projek Jendela fasa satu, yang sepatutnya dijadualkan siap pada 2022.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast