GEORGE TOWN – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan program Celik Kewangan Belia MADANI akan menjadi pemangkin bagi pengurusan kewangan yang lebih bijak dalam kalangan generasi muda.
Naib Presiden GPMS, Muhammad Danial Alimin berkata, inisiatif yang menyasarkan pendaftaran satu juta pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) itu merupakan satu langkah penting ke arah meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan belia dalam negara.
“Kita yakin dengan pelaburan permulaan RM50 yang diberikan kepada setiap pelajar hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan syarikat korporat ini akan memupuk tabiat menabung dalam kalangan belia.
“Inisiatif ini adalah usaha yang sangat diperlukan untuk memastikan belia mula merancang kewangan mereka pada usia muda seterusnya mengukuhkan kedudukan kewangan mereka selepas tamat pengajian,” katanya dalam kenyataan media.
Mengulas lanjut Muhammad Danial berkata, inisiatif ini juga sejajar dengan matlamat GPMS untuk memperkasakan generasi muda dengan ilmu dan kemahiran kewangan yang asas agar mereka dapat membuat keputusan kewangan yang lebih bijak pada masa hadapan.
“Kami yakin bahawa matlamat untuk membangunkan tahap celik kewangan dalam kalangan belia yang diusahakan kerajaan dan sektor koporat akan dapat dicapai dengan lebih efektif.
Beliau berkata GPMS menyeru semua pelajar untuk mengambil peluang itu kerana ia memberikan nilai pelaburan permulaan dan membuka ruang untuk membina masa depan kewangan yang lebih kukuh.
“Sehubungan itu kita berharap agar semua pelajar merebut peluang ini kerana ia bukan saja memberikan nilai pelaburan permulaan tapi membuka ruang dalam membina masa depan kewangan lebih kukuh,” katanya.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian dana awal sebanyak RM50 juta kepada sejuta pelajar baharu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Celik Kewangan Belia MADANI.
Kata beliau, nilai pelaburan permulaan percuma sebanyak RM50 akan dikreditkan ke dalam akaun pelajar termasuk institusi pengajian vokasional baharu.
“Inisiatif itu dibangunkan bagi memastikan golongan belia di negara ini mula merancang kewangan pada usia muda dan secara terus membantu mengukuhkan kedudukan kewangan mereka apabila terus menyimpan dan melabur bersama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) walaupun selepas tamat pengajian,” katanya. – MalaysiaGazette