Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Malaysia masih belum lagi ‘merdeka’ kerana ‘dijajah’ oleh kerajaan sendiri atas pelbagai sekatan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, antaranya negara belum bebas daripada sekatan rakyat berhubung isu 3R (kaum, agama dan raja) walaupun Malaysia telah bebas dari pejajahan British.

“Kita perlu tahu apa makna merdeka, merdeka bermakna bebas daripada sekatan, kezaliman mana-mana pihak. Ia jelas dilihat apabila kerajaan hari ini tidak membenarkan kita itu dan ini.

“Saya kata kita tidak merdeka, tidak boleh bercakap mengenai  isu 3R, tidak boleh cakap mengenai PMX, dan yang hanya merdeka atau bebas hanyalah kerajaan sahaja. Kita tidak merdeka.

“Kalau bercakap sedikit pasal isu 3R, polis akan panggil kita. Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pun dipanggil polis kononnya dia bercakap pasal 3R. Jadi tak bebaslah kita.

“Ini (sekatan bercakap 3R) bukan undang-undang pun kerana ia dibuat secara tidak sah. Undang-undang sepatutnya perlu diluluskan di Dewan Rakyat,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada Program Bicara Merdeka anjuran Yayasan Permata Ummah di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 24 OGOS 2024

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Bicara Merdeka – Masa Depan Islam dan Melayu, di sini, hari ini.

Bicara anjuran Yayasan Permata Ummah itu turut menampilkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Mengulas lanjut Dr. Mahathir berkata, kerajaan pada hari ini bebas untuk bertindak ke atas sesiapa sahaja, malah jika tersilap sedikit individu itu akan dipanggil polis untuk disoal siasat.

Dr. Mahathir menambah, beliau tidak gentar jika dipanggil atau ditangkap kerana berbicara soal 3R, ini kerana telah disoal siasat sebanyak sembilan kali sebelum ini.

“Saya pelik kenapa kita tidak boleh bercakap mengenai bangsa kita dan agama kita. Saya berpendapat sambutan Hari Merdeka ini tiada makna. Kalau kita nak merdeka, segala sekatan ini perlu dibuang dan dihapuskan.

“Sebab itu, saya tidak rayakan Hari Merdeka kerana kita sebenarnya tak merdeka pun sebenarnya. Kita tidak boleh buat apa pun.

“Nak selesaikan masalah orang Melayu dan agama kita pun tidak boleh bercakap kerana ini semua tertakluk kepada undang-undang haram (tidak boleh cakap isu 3R) ini

“Selagi rakyat tidak mendapat hak untuk bercakap dan berbahas tidak kira di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara, Malaysia boleh dianggap belum merdeka kerana kerajaan yang mengawal dan halang semua perkara,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast