PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan kerajaan seharusnya membawa pulang rakyat Palestin ke negara ini lebih awal bagi mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu tetap menyokong tindakan kerajaan itu yang dilihat prihatin terhadap situasi semasa di Palestin ketika ini.
“Ini melibatkan orang Islam yang juag saudara kita. Jadi bila mereka menghadapi masalah, kita perlu tolong setakat yang kita mampu.
“Patutlah bawa tapi kena lebih awal lagi, sebab dah lebih 40,000 orang dah dibunuh oleh Israel.
“Kalau boleh kita teruskan bantu mereka tapi mungin tidak banyak. Mungkin yang teruk (kronik) ke sini untuk kita ubati,” katanya pada pemberita.
Terdahulu, beliau bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir program Bicara Merdeka – Masa Depan Islam dan Melayu, di sini, hari ini.
Pada 16 Ogos lalu, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang, Selangor.
Mereka diterbangkan dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir, melalui penerbangan selama 13 jam dan sempat transit di Karachi sebelum menyambung perjalanan ke Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, misi itu dilaksanakan atas pertimbangan kemanusiaan, dan menunjukkan solidariti rakyat negara ini bersama rakyat Palestin serta pendirian Malaysia menentang tindakan tidak berperikemanusiaan atau genosid. – MalaysiaGazette