Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh beramah mesra pada laman media sempena PAU 2024 ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO berlapang dada sekiranya pucuk pimpinan parti memilih Wanita sebagai calon untuk untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, ia tidak menjadi isu kerana yang penting kerusi DUN berkenaan dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, meskipun wakil Wanita dalam perbahasannya menyelitkan perkara itu, namun beliau yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi waras dalam membuat Keputusan.

“Saya rasa presiden waras dan juga rasional untuk berfikir yang mana terbaik. Ini bukan soal siapa yang bercakap, tapi ini soal bagaimana kita nak menang di DUN Mahkota.

“Ya, betul Wanita ada bawa calon yang dirasakan bagus, tapi sama juga dengan Pemuda, kita juga bawa calon yang kita bawa dan boleh diterima oleh masyarakat di DUN Mahkota. Jadi, apa sekali pun keputusan tu tertakluk kepada presiden dan juga pucuk pimpinan.

“Bagi Pemuda kita dah bagikan nama yang terbaik…kalau ada rezeki kita akan buat kerja, kalau tiada rezeki pun kita tetap akan buat kerja untuk memenangkan DUN mahkota, jadi tiada isu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbahasan jurucakap Wanita, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid pagi tadi yang meminta pertimbangan Ahmad Zahid untuk meletakkan calon Wanita di DUN berkenaan yang menajdi tradisi UMNO di kawasan itu.

Nurulhidayah merupakan anak perempuan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, Pemuda amat jarang membawa nama kepada pucuk pimpinan untuk diletakkan sebagai calon bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Bagaimanapun katanya, Pemuda yakin apabila sesuatu nama yang dibawakan individu itu mestilah seorang yang boleh bekerja untuk rakyat sebagaimana ditonjolkan di DUN Nenggiri.

“Sama juga di DUN Mahkota…di sini kita ada calon yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat, orang Melayu mahupun bangsa lain.

“Saya percaya ini calon yang terbaik dan saya serahkan nama kepada pucuk pimpinan. Tetapi, ia bergantung kepada pucuk pimpinan, kalau mereka rasa calon daripada Wanita itu yag terbaik, maka itu ok, kita berlapang dada,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast