Terdapat kedai-kedai masih beroperasi seperti biasa ketika operasi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia mencari dan menyelamat mangsa insiden tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 24 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Peniaga di Jalan Masjid India disaran menutup premis perniagaan masing-masing buat sementara waktu, bagi mengelak risiko terhidu gas beracun yang mungkin keluar daripada lurang kumbahan semasa operasi pencarian wanita mangsa tanah jerlus dilaksanakan.

Ketua Polis Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, meskipun keadaan di sekitar kawasan Jalan Masjid India itu buat masa ini selamat, namun langkah berjaga-jaga juga perlu diambil kerana kebocoran gas beracun boleh menimbulkan risiko kesihatan kepada pengunjung dan juga peniaga jika terhidu.

“Pada masa yang sama, kami menasihatkan peniaga untuk menutup perniagaan mereka buat sementara waktu, bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan yang berpotensi disebabkan oleh kebocoran gas dari lurang di sepanjang laluan aliran air,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Sulizmie Addendy berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneruskan siasatan ke atas struktur tanah di kawasan tersebut, untuk dapatan yang lebih terperinci dan penemuan tambahan untuk membantu pencarian.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata operasi perniagaan di Jalan Masjid India, di sini boleh dijalankan seperti biasa pada hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan bomba di sekitar lokasi kejadian tanah jerlus ini mendapati kawasan itu selamat. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast