KUALA LUMPUR- Fokus pasukan penyelamat mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini adalah pada baki dua lurang kumbahan selepas Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai memeriksa empat lurang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, dua lurang tersebut menuju hilir di loji Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam.
“Fokus pasukan penyelamat pada masa ini masih lagi berusaha mengesan mangsa sehinggalah ke loji IWK di Pantai Dalam.
“Sekiranya mangsa masih tidak ditemui apabila kita selesai memeriksa lurang kumbahan, maka kita akan duduk semula berbincang dan lihat semula langkah lain untuk operasi susulan,” katanya selepas melawat lokasi kejadian di Masjid India, petang tadi.
Ketika ditanya, bilakah operasi SAR akan ditamatkan, Zaliha berkata, beliau tidak dapat menjangkakannya.
Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai insiden tragik pagi semalam, Zaliha berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada agensi dan jabatan berkaitan.
Tambah beliau, pihaknya juga akan membuat proses pemetaan semula semua saluran lurang yang ada di sekitar Kuala Lumpur termasuk mendapatkan input daripada pihak geologi.
“Kita bukan sahaja menekankan kawasan ini (Masjid India) sahaja, malah seluruh Kuala Lumpur, bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang,” katanya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN