PUTRAJAYA – Sebanyak tujuh syarikat antarabangsa India di Malaysia komited untuk melatih dan menggaji 5,000 rakyat Malaysia dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan National Association of Software and Service Companies (Nasscom).
Skim latihan dan pengambilan pekerja oleh tujuh syarikat itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata lebih banyak syarikat akan terlibat dalam inisiatif itu yang dimulakan dengan kerjasama MDEC dan Nasscom, menyaksikan pekerja tempatan dilatih untuk mendalami kemahiran dalam beberapa bidang utama termasuk bidang digital, kecerdasan buatan (AI) generatif (AI), keselamatan siber, pembangunan perisian dan teknologi Next Gen.
“Ketika kerajaan MADANI terus berusaha meningkatkan infrastruktur bertaraf dunia dan mewujudkan keyakinan digital bagi menarik pelabur, komponen penting untuk mempercepat perkara itu adalah dengan pengambilan pekerja berkemahiran.
“Melatih pekerja berkemahiran adalah penting dalam dunia digital serba pantas memandangkan teknologi berkembang setiap hari. Bermula dengan melatih golongan muda manakala pekerja sedia ada akan terus dilatih dan meningkatkan kemahiran mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 21 Ogos, Gobind menyaksikan pertukaran dua MoU antara kedua-dua pihak di New Delhi, India.
Nasscom adalah persatuan perdagangan bukan kerajaan dan bertindak sebagai kumpulan advokasi industri teknologi India.
Diasaskan pada 1988, Nasscom beroperasi sebagai pertubuhan tidak berasaskan keuntungan, dan menjadi entiti penting kepada sektor teknologi India. – BERNAMA