KLANG – Polis sedang giat mengesan beberapa buah kenderaan yang dipandu secara melawan arus dalam insiden di Jalan Kem, Pelabuhan Klang yang tular menerusi media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, semakan awal mendapati beberapa buah kenderaan dilihat memandu secara melawan arus dari Jalan Lebuh Raja Lumu menuju ke arah persimpangan Jalan Kem di Klang.
“Siasatan lanjut polis juga mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi Sabtu akibat daripada satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah treler dengan kereta yang berlaku di Jalan Pintasan (Jalan Pelabuhan Utara menghala ke Jalan Pelabuhan Barat).
“Kemalangan itu telah mengakibatkan aliran trafik di lokasi terbabit mengalami kesesakan teruk dan kenderaan bergerak perlahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kesesakan jalan turut menyebabkan beberapa pengguna jalan raya mengambil kesempatan melanggar peraturan dengan memotong deretan kenderaan yang sedang bergerak perlahan.
“Kesalahan yang dikesan adalah memandu secara melawan arus serta memotong kenderaan lain di laluan yang tidak dibenarkan.
“Tindakan mengesan semua kenderaan terlibat sedang dijalankan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, rakaman video berdurasi seminit 22 saat itu memaparkan beberapa buah kenderaan bertindak memotong kenderaan lain yang bergerak secara perlahan.-MalaysiaGazette