Boom crawler bagi projek Lebuhraya Thean Teik patah sebelum menghempap beberapa kenderaan di parkir berhampiran.

GEORGE TOWN – Penang Infrastructure Corporation (PIC) hari ini mengesahkan kegagalan mekanikal jentera kren berantai (crawler kren) ketika melakukan kerja mengangkat rasuk di Lebuh Raya Thean Teik di sini menjadi punca komponen hujung boom kren tersebut patah sebelum menghempap beberapa buah kenderaan di kawasan parkir berhampiran.

Bagaimanapun, tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pukul 10 malam pada Jumaat lalu itu.

PIC dalam satu kenyataan berkata, proses mengangkat dan memuatnaik tiga segmen rasuk itu bermula sekitar pukul 8.30 malam yang mana dua daripada tiga struktur rasuk tersebut telah berjaya diangkat dan dimuatkan ke atas treler.

Dua buah kenderaan mengalami kerosakan akibat insiden tersebut.


“Bagaimanapun ketika proses mengangkat rasuk yang ketiga,
salah satu crawler kren telah mengalami kegagalan mekanikal yang menyebabkan komponen hujung boom kren tersebut patah dan sebahagian komponen tersebut jatuh ke kawasan parkir kereta medan selera di lot bersebelahan.

“Kejadian ini telah menyebabkan dua buah kereta yang diparkir di kawasan berkenaan mengalami kerosakan. Susulan itu, pemilik kenderaan tersebut juga telah ditemui dan bersetuju untuk dibayar pampasan atas kerosakan.

“Lanjutan itu, pihak subkontraktor telah mengambil tindakan drastik dengan membuat pengepungan penuh kawasan tersebut bagi tujuan keselamatan,” katanya.

Tambahnya, pemakluman berkaitan insiden itu telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang (DOSH) hari yang sama.

Mengulas lanjut PIC berkata, bagi mengelakkan kejadian itu berulang, langkah mitigasi dan keselamatan bagi kerja-kerja pelancaran telah diperkemaskan serta-merta.

“Kita meningkatkan kekerapan pemeriksaan  kren daripada bulanan kepada mingguan berpandukan senarai semak jentera.

“Selain itu, perimeter bersebelahan yang melibatkan orang ramai akan ditutup dari sebarang aktiviti sebelum pelancaran dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast