PUTRAJAYA – Kerajaan masih belum menerima apa-apa perkembangan berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan daripada ahli Parlimen pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini, pihaknya masih menunggu berhubung perkara itu.
“Yang itu belum dapat lagi, belum dapat respon daripada mereka…tanya pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis TVET Kompeten TS ST-Energy Transition Catalyst di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan wartawan berhubung perkembangan terkini mengenai draf berkenaan.
Pada 3 Ogos lalu, Fadillah Yusof dilaporkan berkata, draf MoU peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang sudah siap dan sedia diserahkan kepada Ketua Whip pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Sebelum ini, Takiyuddin dilaporkan berkata, pihaknya perlu mengemukakan draf itu kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pimpinan lain untuk membuat Keputusan.
Sebaik sahaja draf terbabit siap, beliau berkata, ia akan diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik kerajaan dan pembangkang untuk diluluskan.
Katanya, sebuah jawatankuasa bersama antara kerajaan dan pembangkang akan ditubuhkan jika PN bersetuju dengan perjanjian dalam draf itu.
Draf itu menyusul susulan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 9 Julai lalu bahawa isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak patut menjadi isu rumit untuk diselesaikan.
Menurutnya, syarat ditetapkan kepada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang mahu mendapat peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.
Pada Mei lalu, Fadillah turut memaklumkan draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sedang dimuktamadkan antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette
















