Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof melawat reruai yang disediakan pada Majlis TVET Competent ST di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 26 OGOS 2024

PUTRAJAYA – Negara memerlukan seramai 62,000 tenaga kerja kompeten bagi merealisasikan usaha menggerakkan penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) sehingga 70 peratus atau 56 GigaWatt (GW) menjelang 2050.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu, Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing.

“Pengembangan peranan TVET ini sejajar dengan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dengan membangunkan program kemahiran hijau disamping menambah baik program TVET serta pendidikan tinggi bagi sektor hijau.

“Ini kerana NETR juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 dalam melahirkan pembangunan modal insan kompeten yang responsif, fleksibel dalam aspek peralihan tenaga dan kemahiran hijau ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis TVET Competent ST – Energy Transition Catalyst di sini hari ini.

Bercakap mengenai program TVET Competent ST l, Fadillah berkata, ia adalah inisiatif Inisiatif Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi melahirkan orang kompeten menerusi TVET.

Ujarnya, ia sebagai langkah ke hadapan untuk memastikan graduan bukan sahaja mahir dalam teori tetapi juga kompeten dalam pelaksanaan praktikal di lapangan.

“Majlis TVET Competent ST ini diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada institusi yang ditauliah oleh pihak ST untuk mengendalikan kursus dan peperiksaan kekompetenan bagi elektrik dan gas.

“Program ini bertujuan untuk mendidik dan mempromosikan keselamatan elektrik dan gas berpaip kepada para pelajar dengan matlamat melahirkan lebih ramai orang kompeten elektrik dan gas, yang bukan sahaja berpengetahuan, berkemahiran malah berkualiti di pasaran negara,” tambahnya.

Katanya, ia bagi memastikan pembangunan keupayaan dan modal insan yang kompeten untuk menyokong agenda peralihan tenaga, kerajaan komited terus memperkasakan proses akreditasi sedia ada yang berfokus kepada tenaga boleh baharu.

Terdahulu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara ST dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

MoU berkenaan bertujuan mengharmonikan tadbir urus dan kawal selia dalam perkara berkaitan kekompetenan, kelengkapan elektrik dan gas antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kualiti perkhidmatan kekompetenan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast