Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed dinobatkan Anugerah Wanita Cemerlang sempena Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2024 baru -baru ini

KUALA LUMPUR – Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed dinobatkan penerima Anugerah Wanita Cemerlang Sabah sempena Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2024 pada Jumaat lalu.

Menerusi kenyataan media, anugerah berprestij tersebut telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS).

“UiTM Cawangan Sabah sekali lagi mencipta sejarah apabila Dr. Rozita telah menerima anugerah berkenaan  yang telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Grand Ballroom The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, Sabah pada 23 Ogos  lalu.

“Penganugerahan ini adalah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang reaktor baharu itu dalam bidang kerjayanya, sumbangannya yang signifikan dalam pembangunan wanita dan masyarakat, serta dedikasinya yang tidak berbelah bahagi kepada kemajuan Sabah,” katanya.

Rozita telah dilantik sebagai Rektor UiTM Cawangan Sabah mulai 3 Julai 2023, merupakan seorang anak jati Sabah dan memiliki kelayakan akademik dengan memegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kewangan Islam daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Berpengalaman selama 25 tahun dalam dunia akademik dan industri, tokoh itu diakui sebagai pakar dalam bidang kewangan, kepimpinan dan pengurusan operasi dan kepakaran beliau telah banyak membantu memperkukuhkan UiTM Sabah dalam pelbagai aspek.

Pengiktirafan itu dilihat sebagai satu pencapaian yang bermakna, bukan sahaja untuk beliau secara peribadi tetapi juga bagi UiTM Sabah dan masyarakat keseluruhannya.

Ia juga menandakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam memperkasa wanita dan menyokong pembangunan sosio-ekonomi di Sabah.

Selain itu, beliau menjadi inspirasi kepada golongan wanita untuk terus maju dalam pelbagai bidang serta memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri dan negara.

Dalam ucapannya selepas menerima anugerah, Rozita menyatakan rasa terharu dan bangga atas penghargaan yang diterimanya.

Rozita turut menegaskan komitmennya untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri dan masyarakat khususnya dalam memperkasakan wanita dan meningkatkan taraf pendidikan di Sabah. – MalaysiaGazette