MIRI- Tiada isu bagi rakyat Brunei untuk membeli minyak diesel bersubsidi di Sarawak, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali.
Katanya rakyat negara itu boleh mengisi penuh bahan api itu ke dalam tangki kenderaan mereka di stesen-stesen minyak yang beroperasi melebihi radius 30 kilometer (km) dari sempadan Malaysia-Brunei.
“Penjualan diesel adalah dihadkan kepada hanya 20 liter di kawasan dalam radius 30km dari sempadan namun di luar daripada radius 30km tidak ada larangan dari segi had dengan syarat ia perlu diisi di tangki minyak kenderaan yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Isu Bekalan Minyak Petrol RON97 Bagi Kenderaan Pelancong Brunei/Indonesia di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin tempatan dan wakil stesen-stesen minyak di Miri.
Baru-baru ini telah tular di media sosial satu konvoi kenderaan pelancong dari Brunei yang menyertai acara ‘off-road’ di Sarawak berdepan kesukaran apabila stesen minyak di laluan tersebut enggan menjual diesel kepada kenderaan asing.
Menurut Armizan sebenarnya wujud salah faham dalam kalangan pengusaha stesen minyak berkaitan polisi kerajaan mengenai penjualan bahan api itu di kawasan lingkungan radius 30km dari sempadan Malaysia-Brunei.
Selain itu beliau berkata terdapat juga syor supaya KPDN Dan kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk membenarkan kenderaan Brunei membeli petrol RON95.
Katanya alasannya adalah kerana harga petrol di Brunei jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan di Sarawak jadi tidak ada isu penyeludupan akan timbul.
“Kita akan melihat perkara ini melalui libat urus lanjut dengan Kementerian kewangan dan kita akan memperhalusi cadangan ini dengan melihat data tertentu mengambil kira aspek contohnya stesen stesen minyak yang membekalkan,” katanya.
— BERNAMA