Kulasegaran (tengah) menyaksikan penyerahan bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang siap dinaik taraf membabitkan kos hampir RM19 juta.

GEORGE TOWN – Projek menaik taraf dan pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang siap selepas hampir tiga tahun membuktikan kepesatan negara tidak menjejaskan warisan dan nilai sejarah.

Sebaliknya, Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan berkata, Malaysia memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara bijaksana, berkesan, dan mampan bagi manfaat generasi masa akan datang.

Jelas KKR, keaslian bangunan dikembalikan dan dikekalkan sebaik mungkin bagi memanjangkan jangka hayat bangunan warisan tersebut dengan penambahan beberapa fasiliti mengikut keperluan semasa bagi menjamin keselamatan pengguna serta kemampanan keperluan masa hadapan.

“Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ini merupakan salah satu faktor utama dalam pengiktirafan George Town sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008.

“Projek yang dilaksanakan secara konvensional perunding ini melibatkan kos kontrak berjumlah hampir RM19 juta itu dimulakan pada 1 Disember 2021 dan siap sepenuhnya pada 13 Julai lalu,” katanya hari ini.

Terdahulu, majlis penyerahan bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M.Kulasegaran dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Roslan Ismail yang mewakili Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Mengulas lanjut KKR berkata, sejajar dengan usianya, bangunan warisan ini telah mengalami beberapa masalah termasuk kebocoran bumbung, kesan anai-anai, kelembapan dan tumbuhan kulat yang terdapat pada beberapa bahagian bangunan.

“Antara skop kerja dan komponen yang terlibat adalah kerja-kerja pemuliharaan dan menaiktaraf sturuktur bumbung, dinding dan lantai, menaiktaraf sistem elektrikal dan mekanikal termasuk lif dan menaiktaraf turapan jalan dan mengecat pagar sedia ada,” katanya.

Bangunan mahkamah ini dibina 1901 dan digunakan pada 1905 sebelum diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Manakala projek menaik taraf dan pemulihan  dilaksanakan dengan pematuhan kepada Akta 645 dan Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan Jabatan Warisan Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast