KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti membuat pusingan U tidak sampai 24 jam selepas mengumumkan mengundurkan diri bertanding bagi merebut jawatan sebagai Datuk Bandar di kawasan Batu di negara itu.
Krisdayanti, 49, memberitahu keputusan menarik diri dibuat secara tergesa-gesa selain meragui kemampuannya untuk menggalas tanggunjawab besar.
“Saya akui keputusan itu dibuat disebabkan perasaan yang bercampur-baur. Tipulah kalau perasaan tak terganggu.
“Tapi tiada tekanan daripada sesiapa pun, sudah tiada ada rasa ragu atau bimbang. Insya-Allah saya akan teruskan bertanding dalam pilihan Datuk Bandar di Batu tahun ini,” lapor media negara jiran itu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Menghitung Hari berkata, dia sudah bersedia untuk meneruskan perjuangan demi memenangi hati rakyat Indonesia.
“Memang rasa gelisah dengan tanggungjawab yang bakal dipikul, tapi saya sedih untuk bergerak terus serta berjuang untuk rakyat,” ujarnya.
Krisdayanti dilantik sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR RI) daerah Malang Raya sejak 2019. – Agensi