Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan mangsa kejadian tanah jerlus Jalan Masjid India masih lagi belum ditemui setakat ini.

Kata Fahmi, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Bagaimanapun kata Fahmi, sehingga saat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan selagi yang boleh.

“Sehingga pagi tadi, mangsa belum dapat dijumpai atau dicam. Tidak ada sebarang maklumat tentang penemuan mangsa tersebut.

“Berkenaan tempoh SAR, sama ada akan dihentikan atau sebaliknya, kita belum putuskan apa-apa. Selagi tidak ada pengumuman pemberhentian, maka operasi ini akan diteruskan.

“Dr Zaliha juga ada memaklumkan tentang satu lagi insiden tanah jerlus, 50 meter dari lokasi tersebut. Ketika ini siasatan sedang dijalankan,” katanya yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan pada sidang mingguan di sini hari ini. 

Kawasan mendapan baharu di Masjid India yang terbentuk kira-kira 50 meter dari lokasi tanah jerlus telah ditutup sebagai langkah keselamatan.

Lokasi mendapan baharu yang dipercayai berlaku sekitar 2.30 pagi tadi susulan hujan lebat dan ribut malam tadi, ditutup sepenuhnya menggunakan tali keselamatan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui kenyataan berkata, tindakan segera juga diambil dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) bagi memeriksa paip kumbahan di lokasi itu serta kawasan sekitarnya untuk memastikan tiada kerosakan lanjut.

Dalam pada itu, Fahmi juga  memaklumkan tentang insiden mendapan tanah sehingga mengakibatkan kejadian longkang runtuh di Pantai Permai.

“Insiden yang berbeza tapi isu asas sama, iaitu penyelengaraan saliran. 

“Saya bersama Dr Zaliha akan melawat lokasi itu petang ini dan maklumat susulan akan diberikan kelak,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast