Kumar (tengah) menunjukkan peralatan memproses dadah yang digunakan, pada sidang akhbar di IPK Jojhor, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah untuk pasaran tempatan serta antarabangsa melibatkan rampasan lebih RM2 juta dalam empat serbuan sekitar daerah ini pada 17 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, serbuan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 3.30 petang hingga 11.30 malam.

Beliau berkata, serbuan tersebut dilakukan di rumah teres serta apartmen berpagar dan berpengawal yang disewa di Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah teres di Eco Flora di sini dan menahan seorang lelaki warga negara asing berusia 31 tahun dan merampas sejumlah dadah.

“Hasil soal siasat lelaki terbabit, polis menahan teman wanitanya di tepi jalan di Taman Setia Indah yang merupakan warga tempatan, 38,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Katanya, soal siasat suspek wanita itu membawa kepada serbuan ketiga dan keempat di apartmen di Bukit Indah dan Majidee pada hari yang sama.

Menurutnya, hasil serbuan polis merampas 3.672 kg serbuk ekstasi bernilai RM613,340; 20.21 liter cecair ekstasi (RM1,350,028); 1.85g pil erimin 5; 12.80g pil ekstasi (RM2,100); 4.80g pil epam nitrazepam (RM160) dan 2.600 kg syabu (RM83,200).

Kumar berkata, nilai dadah berkenaan berjumlah RM2,048,968 yang boleh digunakan seramai 92,967 penagih.

“Kita juga merampas peralatan memproses dadah serta ‘percusor’ yang digunakan dalam memproses dadah. Polis turut menyita sebuah kereta (RM360,000); wang tunai (RM131,598); pelbagai jenis barang kemas (RM8,880); wang tunai dollar Singapura (SGD100) serta tiga akaun bank. Keseluruhannya nilai sitaan RM630,596,” katanya.

Keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan katanya, berjumlah RM2,679,564.

Tambahnya, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan premis-premis yang sewa di kawasan berpagar dan berpengawal untuk memproses dadah daripada bahan-bahan kimia.

“Mereka ini ada kepakaran untuk memproses dadah. Kita masih siasat di mana bahan-bahan mentah untuk memproses dadah diperoleh.

“Dua suspek yang ditahan itu merupakan pasangan kekasih. Lelaki tersebut merupakan dalang sindiket ini. Kita percaya masih ada lagi ahli sindiket yang masih bebas.

“Mereka yang masih bebas dipercayai ‘runner’ dan mengedarkan dadah secara kecil-kecilan untuk mengelak dikesan. Dadah yang diproses adalah untuk pasaran tempatan dan negara jiran,” katanya.

Kata Kumar lagi, ujian air kencing mendapai  suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan wanita berkenaan positif benzodiazepines.

Ujar beliau, semua suspek yang ditahan tidak memiliki sebarang rekod lampau direman dari 18 sehingga 31 Ogos ini dan kes disiasat bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast