Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA – Syarikat penerbangan perlu mengembalikan bayaran penuh di atas kelewatan lima jam dan lebih kepada pengguna yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, peraturan itu adalah pembaharuan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang akan diwarta dan dikuatkuasakan Isnin ini.

“Bayaran balik adalah secara pembayaran asal bergantung kepada jenis transaksi dibuat pengguna ketika pembelian tiket penerbangan.

“Ia sama ada secara tunai, kad kredit, baucer perjalanan atau credit shell dengan proses akan dibuat dalam tempoh 30 hari,” katanya pada sidang media di di kementeriannya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Loke berkata, syarikat penerbangan juga dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik dalam mod bayaran asal sekiranya mengalami gangguan penerbangan disebabkan oleh keadaan luar biasa.

Ujarnya, semua penerbangan yang dibatalkan mesti dikeluarkan daripada semua sistem penempahan, termasuk platform ejen pelancongan dalam dan luar talian.

“Ini adalah untuk melindungi pengguna supaya tidak membeli tiket penerbangan yang telah dibatalkan,” katanya.

Pembaharuan lain ialah pengguna boleh memilih sama ada menerima bayaran balik atau menikmati kemudahan penginapan hotel serta pengangkutan jika penerbangan mereka ditunda selama lima jam atau lebih.

Tambah beliau, sebarang perubahan dalam Waktu Perlepasan yang Dijadualkan (STD) mesti dimaklumkan kepada pengguna sekurang-kurangnya dua minggu sebelum waktu perlepasan sebenar, melainkan ia disebabkan oleh hal keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, peruntukan itu akan berkuatkuasa pada Januari 2025.

Dalam pada itu Anthony berkata, sebarang denied boarding kerana tempahan penerbangan berlebihan perlu dimaklumkan kepada pengguna di kaunter daftar masuk atau di pintu berlepas.

“Menafikan pengguna yang telah menaiki pesawat adalah dilarang,” tegasnya.

Antara perkara lain yang ditambah baik ialah had masa untuk pengguna mengemukakan aduan dilanjutkan daripada satu kepada dua tahun.

MACPC merupakan kod perlindungan pertama yang khusus buat pengguna industri penerbangan Malaysia.

Kod berkenaan memberikan ketelusan mengenai kewajipan syarikat penerbangan terhadap pengguna dan panduan yang lebih jelas terhadap hak dan kepentingan mereka apabila berlakunya gangguan penerbangan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast