Pegawai JIM membuat pemeriksaan terhadap suspek yang teribat dengan sindiket ejen haram dalam serbuan di empat lokasi berasingan di ibu negara. semalam. Gambar: Ihsan JIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) menahan 11 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki India dalam satu operasi khas di empat lokasi berasingan kerana terlibat dengan satu sindiket ejen haram membabitkan kemasukan warga asing ke negara ini.

Antara lokasi mereka dicekup iaitu di Bandar Menjalara, Jalan Medan Tuanku, Jalan Tiong Nam dan Jalan Cheras di sini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, operasi yang bermula pukul 2.30 petang itu turut menahan seorang wanita dipercayai pemilik syarikat sindiket berkenaan.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas  Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dilbatkan dalam operasi yang memerlukan risikan selama dua minggu.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 33 tahun hingga 53 tahun. Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 13 orang.

“Semakan awal mendapati tiga orang lelaki warganegara Bangladesh, seorang lelaki warganegara India mempunyai pas yang masih sah laku dan dua orang lelaki warganegara Bangladesh telah tinggal lebih masa.

“Manakala, warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen yang perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jafri berkata, pasukan operasi telah merampas sebanyak 530 naskhah pasport pelbagai negara terdiri daripada 414 naskhah pasport Bangladesh, 57 naskhah pasport India, 36 naskhah pasport Indonesia, sembilan naskhah pasport Myanmar, tujuh naskhah pasport Pakistan, empat naskhah pasport Sri Lanka, masing-masing satu naskhah pasport Filipina, Nepal dan Malaysia.

Barang lain yang turut dirampas iaitu lima set komputer, satu unit komputer riba, dua unit dekoder kamera litar tertutup, dua unit pencetak, 14 unit cop syarikat, kad perniagaan, kad pendaftaran CIDB, 3 keping sijil kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara dan wang tunai berjumlah RM13,900.

Beliau menjelaskan, modus operandi sindiket terbabit adalah menawarkan perkhidmatan untuk berurusan dengan JIM berkaitan pasport dan pas kepada warganegara asing seperti Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK) dan Visa.

Katanya, kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM500 bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan dan sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu.

“Kesemua warganegara asing ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Sek.6(3), Sek.15(4) Akta Imigresen 1959/63, Sek.12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Per.39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.

Dalam pada itu Jafri Embolk berkata, seorang perempuan warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.55E Akta Imigresen 1959/63 dan Sek.12(1)(f) Akta Pasort 1966.

Tambahnya , seramai enam orang perempuan warganegara Malaysia telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Justeru kata beliau, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast