Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saraswathy Kandasamy

KUALA LUMPUR – Jangan cetuskan provokasi kaum dan agama yang boleh mengganggu gugat keharmonian negara ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasmi berkata, paling menyedihkan apabila perbuatan itu dilakukan ketika seluruh rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan yang ke-67, esok.

Beliau merujuk kepada isu komik seorang ibu mengajar anaknya berkaitan perbezaan antara Islam dan Hindu yang ditularkan oleh seorang pengguna laman sosial Facebook baru-baru ini.

“Esok (31 Ogos), negara sudah merdeka selama 67 tahun dengan perpaduan dan keharmonian terbina antara pelbagai kaum dalam masyarakat majmuk.

“Apa yang berlaku ini, boleh membawa kita kepada isu perpecahan, pergaduhan antara kaum dan sebagainya.

“Saya sebenarnya sangat kesal apabila perkara seperti ini dilaporkan sedangkan sikap saling memahami, hormat-menghormati kepercayaan serta amalan orang lain merupakan kunci kepada perpaduan dalam kalangan masyarakat boleh dipelihara.

“Jangan lupa Malaysia adalah sebuah negara yang terbentuk atas semangat perpaduan pelbagai kaum berbilang kaum dan latar belakang.

“Sejarah membuktikan bahawa keamanan dan kemajuan yang dikecapi pada hari ini adalah hasil daripada semangat perpaduan, dengan pelbagai kaum dan agama bersatu padu demi mencapai keamanan dan kemajuan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarawathy juga memohon semua rakyat di negara ini untuk sentiasa menghayati Rukun Negara yang mengajar semua menghormati perbezaan dan hidup bersama dalam suasana yang aman.

“Saya mohon agar semua pihak menghentikan serta-merta polemik berhubung isu-isu yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat,” tegasnya.

Sebelum ini Hindu Sangam Malaysia telah menggesa isu itu dirujuk kepada kepada Kementerian Perpaduan Negara dan menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meneliti perkara yang telah menyebabkan kegusaran penganut Hindu di negara ini.

Turut senada ialah Malaysia Hindudharma Maamandram yang menyifatkan komik berkenaan provokasi, menyinggung perasaan penganut Hindu selain menjejaskan keharmonian negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast