KUALA LUMPUR- Pengeluar gula bertapis, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) meluaskan pasarannya dengan memeterai perjanjian eksport gula kasar ke China.
Pengeluar gula jenama Gula Prai itu berkata, di bawah perjanjian itu, MSM akan mengeksport gula kasar berkualiti tinggi ke China melalui China Food Trading (COFCO).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, kejayaan penghantaran percubaan 1,000 kg gula kasar pada tahun 2023 merupakan peristiwa penting bagi MSM.
“Untuk 2024, kami mengunjurkan mengeksport 45,000 tan metrik gula kasar ke China.
“MSM mempunyai sasaran 100,000 – 200,000 tan metrik setahun dalam jangka sederhana untuk China dengan ruang kapasiti yang tersedia dari kilang penapisan MSM Johor melalui program peningkatan yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, perjanjian itu menggariskan fokus strategik MSM pada pengembangan pasaran antarabangsa dan seterusnya mengukuhkan penerimaan kehadiran syarikat itu ke dalam pasaran China.
MSM kini mengeksport ke 20 negara di Asia Pasifik, Asia Selatan, Timur Tengah, Eropah dan baru-baru ini Amerika Utara yang memperoleh hasil eksport melebihi RM600 juta setahun.
Pendapatan eksport dijangka meningkat tahun ke tahun.-MalaysiaGazette