Oh Tong Keong.

KUALA LUMPUR – Pembayaran penuh tambang kepada penumpang penerbangan yang tertangguh lebih lima jam bukan jalan penyelesaian yang menguntungkan pengguna secara jangka panjang.

Naib Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, ia tidak mampu menampung kerugian yang terpaksa dihadapi pengguna antaranya yang mungkin terlepas penerbangan sambungan, tempahan hotel atau pakej pelancongan, mesyuarat penting dan sebagainya.

Beliau turut menyifatkan jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke itu seolah-olah memandang remeh segala masalah yang terpaksa dihadapi penumpang udara yang berdepan penangguhan atau pembatalan penerbangan pada saat-saat akhir.

“Memang mudah untuk menteri membuat keputusan sedemikian, tetapi kerugian yang ditanggung oleh penumpang amat besar.

“Ini kerana penundaan penerbangan akan mempengaruhi rancangan mereka seperti perlu menghadiri seminar atau mesyuarat perniagaan penting di luar negara, perbelanjaan penempahan hotel dan pakej pelancongan, serta perancangan percutian bersama ahli keluarga dengan cuti yang telah dipohon.

“Siapa yang mahu menanggung semua kerugian ini?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, syarikat penerbangan perlu menawarkan pilihan bayaran balik penuh bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka, berkuat kuasa 2 September depan.

Menurut beliau, bagi gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa, syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik dalam mod bayaran asal.

Katanya, syarikat penerbangan juga boleh menawarkan mod bayaran balik alternatif seperti baucar perjalanan atau credit shell, namun pengguna mempunyai hak untuk memilih mod bayaran balik yang mereka kehendaki.

Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang turut mempersoalkan mengenai kaedah bayaran balik tambang yang perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari yang disifatkan membebankan dan mendatangkan kerugian kepada penumpang.

Jelas beliau, langkah itu tidak mengambil kira perlindungan kepada pengguna yang terjejas, ditambah dengan pelbagai prosedur permohonan bayaran balik yang menyusahkan.

“Kebanyakan penumpang yang berdepan penangguhan penerbangan lebih lima jam kebiasaannya akan mencari alternatif penerbangan lain dan mereka perlu membayar harga tiket lebih mahal kerana dibeli saat-saat akhir.

“Oleh itu, dasar bayaran balik penuh ini bukan satu cara penyelesaian kerana ia tidak dapat menampung kerugian penumpang,” katanya.

Sehubungan itu, tegas Tong Keong, Kementerian Pengangkutan sepatutnya mencari penyelesaian jangka panjang dan menyeluruh terhadap insiden penangguhan penerbangan yang kerap dilaporkan berlaku kebelakangan ini.

“Ketepatan waktu dan perancangan perjalanan perlu dilakukan dengan teliti supaya penerbangan dapat berlepas tepat pada masanya dan sampai ke destinasi dengan selamat.

“Inilah yang diharapkan oleh rakyat, bukan sekadar pengumuman `bayaran balik penuh’ yang pada akhirnya tidak menguntungkan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast