PUTRAJAYA – Penampilan ‘abang sado’ daripada penyertaan pelbagai pasukan keselamatan Malaysia mencuri tumpuan orang ramai yang hadir sepanjang sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang diadakan di Dataran Putrajaya hari ini.
Dataran Putrajaya gegak gempita dengan sorakan orang ramai apabila pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melintasi orang ramai dalam perarakan.
Tidak mahu kalah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga menampilkan “abang-abang askar sado”.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak kurangnya apabila turut menampilkan penguat kuasa yang berbadan sasa.
MalaysiaGazette mendapati sepanjang perarakan masuk pasukan berkenaan, suasana berubah menjadi lebih gamat.
Orang ramai bukan sahaja menjerit tetapi turut memberi tepukan kuat kepada mereka.
Malah ada yang merakam aksi-aksi yang ditampil oleh ‘abang sado’.
Menariknya, kali ini, kontinjen JBPM disertai oleh anggota wanita sambil membawa sepanduk ”Abang bomba sado… Akak bomba pula ‘sweet’ kan”.
Pada tahun lalu, JBPM menjadi tumpuan utama apabila kontinjen itu menampilkan anggota bertubuh sasa sebagai tarikan orang ramai.
Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ yang berlangsung bermula jam 8 pagi.
Sambutan itu menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan. – MalaysiaGazette