Mashita (kanan) bergambar dengan anak Merdeka yang berkongsi tarikh lahir keramat yang sama di Pulau Pinang malam tadi.

BALIK PULAU – “Rasa bertuah lahir ketika laungan Merdeka bergema selain usia sebaya dengan hari kemerdekaan negara menjadikan tarikh keramat ini sentiasa istimewa buat diri saya,” kata Mashita Mohd Noor, 67.

Jelas ibu kepada empat cahaya mata, tanggal 31 Ogos 1957 turut terpahat dalam ingatan ibunya, Che Puan Hassan, 96, yang sehingga kini mengimbau kenangan melahirkan anak bongsu daripada lima beradik itu tanpa suami di sisi.

Menurut Mashita, ia susulan ketika ibunya sakit untuk melahirnya tepat jam 12 tengah malam di kediaman mereka di Pajak Song, Kepala Batas dekat sini, ayahnya keluar untuk merai detik bersejarah negara bersama Almarhum Ahmad Badawi Sheikh Abdullah Fahim iaitu bapa kepada bekas Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah.

Mashita.

“Kalau ikutkan mak dan bapa mahu namakan saya Merdeka namun selepas itu mereka putuskan nama Mashita dengan mengekalkan huruf m di depan dan a di belakang sebagai simbolik.

“Kalau sebelum ini, setiap kali hari lahir semua anak-anak saya akan berkumpul dan meraikannya bersama di kediaman kami di Jitra, Kedah cuma tahun ini saya raikannya bersama mereka yang turut berkongsi tarikh lahir sama.

“Perasaan setiap kali datangnya tarikh keramat itu tidak dapat digambarkan keran saya rasa sanggat bangga menjadi sebahagian rakyat Malaysia yang dilahirkan pada 31 Ogos,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Mashita antara 2,054 anak Merdeka yang dirai Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) sekali gus mencipta rekod dalam Malaysian Book of Records (MBOR).

Sementara itu, bagi Mohd Basir Abu Bakar, 44, selain lahir pada tarikh bersejarah negara dia turut berkongsi tarikh lahir sama dengan anak keduanya, Naufa Qaleesya, 6.

Mohd Basir dan anak keduanya (baju putih) Naufa Qaleesya berkongsi tarikh lahir sama iaitu 31 Ogos.

“Kalau ikutkan tarikh kelahiran anak kedua saya dijadualkan pada 27 September namun saya sering beritahu pada isteri (Siti Salwa Mohd Khalid) besar harapan agar anak kedua ini berkongsi tarikh lahir sama dengan saya namun dia beranggapan ia tidak mungkin kerana jarak jauh daripada tarikh jangkaan.

“Harapan itu menjadi kenyataan apabila kami berdua keluar untuk menyambut hari lahir saya dan tiba-tiba isteri mengadu kesakitan sebelum saya membawanya ke hospital swasta di Perda, Bukit Mertajam.

“Kami daftar masuk ke hospital jam 11 malam pada 30 Ogos 2018 dan Alhamdulillah jam 10.10 pagi keesokan hari iaitu 31 Ogos anak kedua saya selamat dilahirkan dan ketika itu saya tidak dapat gambarkan keterujaan apabila dia bukan sekadar lahir pada tarikh keramat negara malah turut berkongsi tarikh sama dengan saya,” katanya.

Kathrine.

Dalam perkembangan sama, P. Kathrine, 38, turut meluahkan rasa gembira apabila dia antara anak Merdeka kerana lahir pada tanggal 31 Ogos.

“Selalunya saya rai tarikh keramat dengan ahli keluarga serta kenalan dekat namun tahun ini lebih bermakna apabila saya raikannya dengan mereka yang turut dilahirkan pada tanggal yang sama,” katanya sambil menambah lahir di Hospital Tangkak, Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast