KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah teruja melihat anakanda baginda mengetuai perarakan kenderaan perisai 4 Briged Mekanize hari ini.
Kemunculan luar jangka anakanda Tengku Panglima Perang, Leftenan Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah mencuri perhatian ketika sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1).
Disaksikan lebih 50,000 pengunjung yang bersorak teruja dan perhatian tertumpu di layar skrin apabila melihat susuk Tengku Ahmad Ismail keluar daripada kenderaan perisai tersebut semasa membuat lintasan hormat penutup hari ini.
Video berkaitan
Tiada siapa menyangka anggota tentera yang berada dalam aset tentera itu Leftenan Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah sehingga perkara itu diumumkan.
Tengku Ahmad Ismail merupakan Pemimpin Trup di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja sejak 11 Ogos 2023.
Dilahirkan pada 11 September 2000, Tengku Ahmad Ismail telah menyertai Cadet Royal Military Academy, Sandhurst, England sebelum menyertai tentera pada September 2022.
Persembahan Demonstrasi Aturgerak Tim Penggempur 4 Briged (Mekanize) itu memusnahkan musuh dengan menggunakan aset-aset mekanize berlangsung kira-kira lima minit.
Pada tahun ini, sebanyak 111 kontinjen dengan pecahan 72 kontinjen berjalan kaki dan 39 kontinjen berkenderaan melibatkan 4,145 orang peserta dan 563 buah kenderaan menyertai sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang 2024.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan turut berangkat diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan pimpinan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette