KUALA LUMPUR – AirAsia hari ini meraikan penerbangan sulung dari Kota Kinabalu (Sabah) ke Manado, ibu kota Sulawesi Utara dan bandar kedua terbesar di pulau Sulawesi di Indonesia.
Dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK), penerbangan tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 8.50 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi pada 11 pagi waktu tempatan, kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.
Penerbangan AK1797 itu diraikan dengan pancuran air sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi, Manado, Sulawesi Utara.
AirAsia berkata laluan baharu ini mengesahkan komitmen syarikat penerbangan itu untuk menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan dari Kota Kinabalu, hab kedua terbesarnya di Malaysia untuk destinasi domestik dan antarabangsa dengan 30 laluan dan 387 penerbangan setiap minggu sebagai kumpulan. – BERNAMA