Mala Vello (baju merah) menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membawanya kembali ke Malaysia.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia terutama golongan wanita dinasihatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan individu baru dikenali bagi mengelak menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran menegaskan, meskipun perkara itu sudah dilaporkan banyak kali namun tiada tanda jenayah tersebut akan berakhir.

Menurut beliau, bukan sahaja ditipu malah mangsa kadang-kala turut diugut, didera atau dicederakan.

“Saya mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dan kes seperti Mala Vello harus menjadi pengajaran kepada semua.

“Mala telah melalui penderitaan selama 12 tahun termasuk 10 tahun di penjara. Nasibnya berubah apabila dia bertemu dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kemudian memaklumkan situasi ini kepada saya dan pihak kerajaan.

“Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai hubungan atau individu yang baru dikenali terutama wanita yang sering menjadi sasaran dalam aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Sivaraj menyambut kepulangan Mala yang kembali ke pangkuan keluarganya selepas ‘terperangkap’ 12 tahun di Nepal akibat menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Hasrat wanita berusia 57 tahun untuk mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, seorang warga Nepal bertukar menjadi mimpi ngeri selepas dijadikan mangsa pemerdagangan mangsa selain pasportnya juga dirampas sejak tahun 2012.

Malang berganda menimpa apabila dia dipenjarakan atas kesalahan imigresen kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan setelah perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Kisah wanita itu mendapat perhatian Sivaraj yang kemudian mengerakkan usaha membawanya pulang ke Malaysia.

Dalam usaha tersebut, beliau memperkenalkan hashtag #bawabalikmala dan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri ketika itu, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk membantu mengkoordinasikan proses perundangan.

Akhirnya, wanita itu tiba di Malaysia menaiki penerbangan dari Kathmandu, Nepal pagi semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast