KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan 12 buah bilik darjah kabin pasang siap kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya di Selangor.
KPM menerusi kenyataan memaklumkan, ia termasuk kerja ubah suai berkaitan, pendawaian elektrik, perabot, peralatan dan tandas.
Penyerahan itu dilakukan oleh kontraktor dalam satu majlis sebagai simbolik projek siap kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang dengan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi.
Menurut Nik Nasarudin, projek bernilai lebih RM2 juta itu dapat memberi penyelesaian jangka pendek kepada isu sekolah padat yang dihadapi di sekolah berkenaan.
Katanya, ia juga dapat memberi keselesaan kepada murid dan guru yang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Bagi penyelesaian jangka panjang pula, sekolah baharu, iaitu SK Cyberjaya 2 kini sedang berada dalam fasa untuk memulakan pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027.
“Sekolah baharu yang dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain ini dapat membantu menangani isu sekolah padat di Cyberjaya dan di kawasan sekitar,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, KPM proaktif dalam mengatasi isu sekolah padat di seluruh negara.
Tambahnya, pelbagai pendekatan diambil termasuk menerusi pembinaan bilik darjah kabin, pelaksanaan kelas terapung dan penyuraian murid ke sekolah berhampiran.
Menurut KPM lagi, pada tahun 2024, kerajaan telah turut meluluskan pembinaan 26 buah sekolah baharu di seluruh negara. – MalaysiaGazette