Dua suspek ditahan polis bantuan dalam kejadian semalam.- Gambar ihsan KTMB.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang disyaki mencuri tembaga pembumi bangunan di Kilometer 353.75, Bangunan Stesen Pembekal Bekalan Kuasa, Stesen Rawang berjaya ditahan semalam oleh anggota Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Ketua Polis Bantuan KTMB, Superintendan Harizan Hassan berkata, dua lagi suspek lelaki yang turut terlibat bagaimanapun melarikan diri ketika berlaku pergelutan antara mereka dan anggota polis.

Katanya, pada pukul 9.10 malam tadi, anggota polis bantuan telah menerima maklumat dari Pusat Penyaluran & Pengumpulan Maklumat Polis Bantuan Ibu Pejabat (PPPM) mengenai sistem penggera Bangunan Stesen Pembekal Bekalan Kuasa telah berbunyi.

“Empat anggota polis bantuan telah berjaya menjejaki penjenayah tersebut dan menangkap bersama barang rampasan. Kedua-dua suspek yang ditahan adalah berusia lingkungan 30 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Harizan, polis bantuan turut berjaya merampas 21 potongan tembaga pembumi, besi jek hidraulik, peralatan memecah bangunan dan tiga pemotong kabel.

Antara barang curi yang dirampas daripada dua penjenayah curi tembaga pembumi dalam kejadian semalam. Ihsan KTMB

Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Rawang untuk tindakan selanjutnya daripada polis.

KTMB turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat sekiranya menyedari kes kecurian kabel di mana-mana kawasan dengan menghubungi talian di 03-2263 1194. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast