Tangkap layar video penafian Datuk Dr Mashitah Ibrahim di laman sosialnya berkaitan isu pemerdagangan manusia.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim menafikan dirinya terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Mantan Ahli Dewan Negara itu berkata, dakwaan tersebut adalah fitnah selain menimbulkan kegelisahan umum terhadapnya.

Malah beliau kecewa dan terkejut dengan tindakan Edisi Siasat yang mengaitkan isu pemerdagangan manusia serta penjualan organ itu dengan Sultan Pahang.

“Itu berniat jahat dan biadab. Gambar saya mengadap Sultan Pahang juga diputar belit dengan tohmahan sangat jahat.

“Saya hanya memohon nasihat baginda tentang isu yayasan tapi macam-macam mereka tulis dengan niat sangat jahat,” katanya dalam satu video di laman sosialnya.

Sambung Mashitah, tidak cukup dengan itu, pertemuan beliau dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay juga difitnah kononnya pemimpin polis itu terlibat sama.

Masitah juga menjelaskan, tuduhan dirinya hadir sebagai tetamu jemputan oleh rakannya, Datuk Seri Leong Kee Huat pada majlis pecah tanah projek Taman Rekreasi dan Industri Saixigang di Myanmar juga adalah tidak benar sama sekali.

“Saya tidak kenal sesiapa, jangan hanya kerana gambar dan majlis sama, saya dikaitkan dengan tuduhan pemerdagangan manusia selain terlibat dengan dunia mafia dan sebagainya, bagaimana hanya dengan gambar boleh kait segala macam? Tidak logik langsung,” ujarnya.

Dalam video itu juga, Mashitah berkata, sehingga kini tiada mangsa yang tampil membuat tuduhan beliau adalah dalang utama dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Beliau sudah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan selain berterusan menafikan tuduhan berkenaan tersebut.

Beliau juga meminta segelintir pihak tidak bertanggungjawab menghentikan perbuatan mengeji, menyebar fitnah, menghukum tanpa fakta sebelum siasatan selesai.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan polis sudah merakam percakapan Mashitah pada minggu lalu dan siasatan telah dijalankan.

Minggu lepas, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia telah menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat pembabitan Mashitah bersama suaminya dengan satu kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemerdagangan manusia babit ahli politik: 3 penulis artikel akan dipanggil polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast