Datuk Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR – Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung siasatan kes 34 individu yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan seks bebas dengan bertukar pasangan yang dipromosi secara dalam talian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Khamis lalu.

“Kini, kita sedang menunggu keputusan TPR untuk arahan dan tindakan selanjutnya,” katanya selepas dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Mohd Rusdi mengesahkan tentang tangkapan yang sama melibatkan 18 lelaki dan 16 wanita selepas disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan seks bebas dengan bertukar pasangan.

Dua lelaki yang disyaki ketua kumpulan itu masih dalam tahanan polis untuk membantu siasatan lanjut.

Rusdi juga menjelaskan polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengesan sindiket bertanggungjawab mempromosi kegiatan tidak bermoral itu.

“Kita turut menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menutup laman web dan aplikasi itu yang didapati telah melanggar undang-undang,” katanya.

Kesemua individu yang terdiri daripada warga tempatan termasuk lima warga asing dari Perancis, Nigeria, Filipina, China dan Republik Czech telah ditahan dalam beberapa serbuan berasingan oleh polis dengan Kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di sebuah kondominium di Sentul di sini pada 25 Ogos lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus dilaporkan berkata, serbuan dan tangkapan itu dibuat susulan hasil risikan yang dilakukan polis sejak Jun lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast