Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menasihatkan, Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya berbincang secara tertib dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoff berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Pembangkang.

Fahmi berkata, Takiyuddin tidak sepatutnya mengadu secara terbuka mengenai perkara itu dan beliau perlu belajar bagaimana kerajaan sebelum ini menguruskan hal berkenaan.

“Waktu kami pembangkang masa tu, waktu kami bincang dengan Perdana Menteri pada waktu itu, Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), kami tak bincang perkara ini dengan media.

“Jadi, kalau mereka ikut langkah kami bincang dengan baik dengan tertib, tak jadi masalah. Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Fadillah telah menyatakan, ini adalah draf…datanglah jumpa, sampaikanlah pandangan, kita boleh bincang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Kerajaan Perpaduan di kementeriannya, di sini, hari ini.

Fahmi ditanya wartawan mengenai pendedahan yang dibuat oleh Takiyuddin berhubung tujuh syarat, termasuk sokongan kepada kerajaan sehingga akhir penggal parlimen ke-15, yang perlu dipenuhi ahli parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka menerima peruntukan seperti yang dituntut selama ini.

Dalam sidang medianya semalam, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, semua syarat itu digariskan di bawah draf MoU Mengenai Peruntukan Pembangkang yang diterima beliau, pada 6 Ogos lalu.

Beliau berkata, PN masih berbincang berkaitan syarat terbabit dan akan membuat keputusan berkaitannya bulan ini.

Menurutnya, antara tujuh kandungan, obligasi dan syarat yang perlu dipenuhi oleh ahli-ahli parlimen pembangkang termasuk berkaitan isu agama, kaum dan raja (3R) termasuk pengisytiharan harta.

Dalam pada itu, Fahmi mencadangkan agar Takiyuddin segera bertemu dengan Fadillah dan berbincang mengenai perkara itu kerana ia merupakan forum yang tepat untuk dilakukan.

“Jadi…saya gesa Datuk Seri Takiyuddin dan rakan-rakan dipihak pembangkang bertemu segera dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah dan bincang dengan tertib..itulah forumnya, bukan dalam sidang media seperti yang dilakukan…itu tidak tertib Namanya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast