Pesta Citarasa Sambal yang bakal kembali buat kali ketiga tidak lama lagi. TOSFE yang akan berlangsung di Dataran Merdeka sempena Festival Permainan Malaysia 2024.

KUALA LUMPUR – Peminat sambal pastinya tidak melepaskan peluang untuk mencuba dan menikmati kepelbagaian makanan itu menerusi Pesta Citarasa Sambal (TOSFE) yang bakal kembali buat kali ketiga tidak lama lagi.

TOSFE yang akan berlangsung di Dataran Merdeka sempena Festival Permainan Malaysia 2024 dianjurkan oleh Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) dengan kerjasama
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Turut terlibat, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sepanjang tiga hari festival berlangsung.

Lebih menarik, buat julung kalinya TOSFE akan memperkenalkan Galeri Sambal Warisan yang mempamerkan sambal yang telah diiktiraf oleh Jabatan Warisan Negara sebagai makanan warisan.

Galeri Sambal dinamakan sebagai Warong Pak Aji itu ditaja oleh jenama pengeluar penambah perasa, Ajinomoto yang akan mempamerkan sembilan Jenis sambal yang diiktiraf JWN mengikut tahun dan negeri masing-masing.

Selain itu, Ajinomoto turut menyumbang produk kepada OKU dan asnaf untuk dijual pada hari tersebut dengan hasil jualan sepenuhnya kepada OKU dan asnaf.

Pengerusi PSWAD, Azmi Jaffry berkata, Malaysia sangat terkenal dan kaya dengan kepelbagaian makanan dan antara yang menjadi kegemaran seluruh rakyat Malaysia adalah sambal.

“TOSFE merupakan salah satu platform mempromosi sambal sebagai salah satu produk pelancongan makanan. Pada pesta lepas, kami berjaya mengumpul usahawan-usahawan sambal bagi mempamerkan lebih 100 jenis sambal selain jualan produk berasas serta berkaitan sambal.

“Namun kali ini, kami membawa kelainan dengan memberi ruang kepada pengunjung untuk melawat Galeri Sambal, Warong Pak Aji yang akan menampilkan replika sambal yang diperbuat daripada silikon,” katanya pada Majlis Pra-Pelancaran TOSFE 03, baru-baru ini.

Galeri Sambal yang dinamakan sebagai Warong Pak Aji akan memperkenalkan sembilan jenis sambal termasuk Sambal Tahun, Sambal Rong, Sambal Biji Getah dan Sambal Tempoyak Daun Kayu mengikut tahun dan negeri masing-masing.

Menurut Azmi, tahun ini, Malaysia telah meletakkan Nasi Lemak, Teh Tarik dan Roti Canai sebagai pencalonan bagi pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Budaya Sarapan Pagi Malaysia.

Sehubungan itu katanya, TOSFE akan mempamerkan ketiga-tiga makanan ini dalam satu sudut Sarapan Malaysia di dalam galeri tersebut sebagai tanda menyokong usaha MOTAC memastikan hidangan tradisional rakyat ini diiktiraf sebagai Budaya Sarapan Pagi Malaysia.

Di setiap pameran produk tersebut terdapat maklumat lengkap berkaitan produk yang didapati daripada Jabatan Warisan Negara.

Tambah Azmi, antara tarikan utama galeri tersebut iaitu di gerai teh tarik di mana pengunjung boleh bergambar dengan aksi seperti membuat teh tarik yang diperbuat daripada silikon.

“Pada kali ini juga TOSFE memberi ruang kepada para artis yang mempunyai produk sambal seperti Datuk Khatijah Ibrahim dan Ezlin yang akan turut serta bagi menjual produk sambal mereka di reruai artis.

Sementara itu, golongan asnaf dan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak dilupakan apabila mereka diberi peluang menjual produk sambal sendiri atau menjadi agen produk sambal keluaran artis seperti Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Nadia Mustafa tanpa sebarang bayaran dan diberikan komisen hasil jualan tersebut.

Ia sekaligus memberi peluang untuk golongan ini menjana pendapatan dan meningkat Kan ekonomi mereka.

TOSFE turut bekerjasama dengan NGO dan Yayasan Wilayah Persekutuan untuk menyantuni golongan asnaf dan OKU dengan memberi sumbangan barangan keperluan dan wang tunai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast