KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menetapkan 28 Oktober depan bagi keputusan permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membatalkan prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Keputusan itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh sejurus mendengar hujah semua pihak hari ini.
Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), Shamsul Bolhassan berkata, permohonan Dr. Mahathir kini bersifat akademik kerana siasatan telah selesai.
Katanya, laporan berkaitan siasatan juga telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong selain ia akan dibentang dan dibahas di Parlimen pada Oktober depan.
Namun hujah itu dibantah oleh peguam mewakili Dr. Mahathir yang mendakwa isu tersebut masih relevan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Peguam Zainur Zakaria yang turut dibantu Rafique Rashid berkata, anak guamnya adalah subjek utama dalam siasatan tersebut namun tidak boleh diwakili peguam ketika prosiding RCI yang akan dijalankan secara tertutup.
Sebelum ini, Dr. Mahathir mendesak supaya prosiding RCI diadakan secara terbuka namun mahkamah menolak permohonan itu yang mahu memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah supaya prosiding RCI terbabit dijalankan secara terbuka.
Ketika prosiding Jun lepas, Amarjeet juga menolak permohonan sama yang dikemukaka Dr. Mahathir bagi perintah melarang Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai Pengerusi RCI dan menghalang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI.
Sebelum ini Dr. Mahathir memfailkan permohonan dengan menamakan Md Raus dan timbalannya, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.
Ahli RCI iaitu Baljit, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman dinamakan sebagai responden ketiga hingga kelapan.
Dr. Manathir juga memohon satu perisytiharan beliau ialah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh suruhanjaya berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.
Beliau juga mendakwa keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam, adalah tidak munasabah. -MalaysiaGazette
Permohonan Dr Mahathir prosiding RCI Batu Puteh secara terbuka ditolak